Kerajaan negeri terus perkukuh Komitmen majukan sukan

GIMIK...Ellron (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik temasya Sukan Sabah kali ke-11.

TAWAU: Kerajaan negeri komited untuk terus memajukan bidang sukan di Sabah, seperti yang dibuktikan melalui pembinaan dan penyediaan pelbagai prasarana sukan menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, komitmen kerajaan turut dizahirkan menerusi pemberian insentif kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.  

“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. 

"Malah, kerajaan sentiasa mengiktiraf pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun untuk insentif kejayaan,” katanya ketika merasmikan Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau di Stadium Tawau pada Sabtu.  

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SAGA XI Tawau 2025, Datuk Ellron Alfred Angin.

Menurut Hajiji, penganjuran SAGA merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu. Temasya itu juga menjadi medan mencungkil atlet pelapis untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.  

 “Kementerian Belia dan Sukan Negeri perlu terus mencungkil lebih ramai bakat muda melalui pelbagai program atau pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi budaya hidup masyarakat,” ujarnya.  

Beliau juga mengingatkan atlet agar menjadikan SAGA bukan sekadar medan memburu kemenangan, tetapi juga platform menampilkan semangat juang dan keperibadian tinggi.

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita.

"Saya berharap agar SAGA akan berkembang sebagai karnival sukan berprestij yang bukan sahaja menarik penyertaan masyarakat secara menyeluruh, tetapi turut melahirkan budaya sukan yang lebih meluas di Sabah.

“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang," jelasnya.

Tambahnya, Sabah telah membuktikan kemampuan melahirkan atlet berkualiti dengan kejayaan beberapa bintang sukan negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) serta Jonathan John (tinju).

Hajiji turut menyeru semua peserta SAGA XI Tawau 2025 agar bertanding dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, selain menjadikan temasya itu sebagai platform untuk mempertingkat pencapaian masing-masing.

Dalam majlis itu, seramai 9,588 atlet dan pegawai menyertai SAGA XI Tawau 2025 melibatkan 30 kontinjen dari seluruh negeri memeriahkan pembukaan temasya tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun, dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama