KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menegaskan komitmen untuk menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi obligasi terhadap Sabah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.
Katanya, beliau akan meneliti alasan penghakiman itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut atas nasihat Peguam Negara.
“Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan memastikan segala langkah diambil demi kebaikan Sabah dan Malaysia seluruhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai Pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keputusan mahkamah itu tidak sepatutnya ditafsir secara mengelirukan seolah-olah Kerajaan Persekutuan hanya mengambil hasil Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunan negeri.
Menurutnya sehingga kini sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah.
"Kerajaan juga menyalurkan RM1.2 bilionbagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik serta mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, dan Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
"Selain itu, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 membolehkan wakil Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota tetap LHDN," katanya.
Disamping itu, Anwar turut berkata kadar Pemberian Khas kepada Sabah yang kekal RM26.7 juta sejak 1969 telah dinaikkan secara berperingkat kepada RM600 juta pada ini dimana pembayaran telah disempurnakan pada 10 September lalu.
“Kadar baharu ini bersifat interim sementara kedua-dua kerajaan merumuskan formula baharu penentuan Pemberian Khas,” katanya.
Disamping itu, beliau berkata perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah meningkat kepada RM17 bilion bagi 2025 dan 2026, jauh melebihi hasil yang dikutip di negeri itu sekitar RM10 bilion setahun.
Bagi Belanjawan 2026, katanya Sabah menerima peruntukan pembangunan hampir RM7 bilion, tertinggi antara semua negeri, termasuk projek Pusat Jantung Sabah (RM125 juta); Jalan Kalabakan-Simanggaris (RM416 juta) danTalian Penghantaran Elektrik Southern Link (RM200 juta).
Menurutnya, kerajaan juga meneruskan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B bernilai RM14 bilion dan memperuntukkan RM1 bilion untuk projek air negeri yang dijangka siap pada tahun hadapan.
Selain itu, Anwar menerusi Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai pada 2021, kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada 2024.
"Kerajaan turut membenarkan Sabah mengenakan cukai jualan petroleum yang menjana hasil tambahan kira-kira RM2 bilion sejak 2022," katanya.
