Nilai prestasi calon Ketua Menteri di kawasan mereka – Armizan



KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dinasihatkan menilai prestasi calon Ketua Menteri berdasarkan rekod perkhidmatan mereka di kawasan masing-masing sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ramai pemimpin parti lawan pernah menjadi wakil rakyat berpenggal-penggal, malah ada yang menyandang jawatan tinggi sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

“Persoalannya, sejauh mana mereka berjaya membawa perubahan di kawasan yang mereka wakili?

“Kalau mahu bercakap soal menyelamatkan Sabah, rakyat perlu lihat dahulu prestasi mereka di tempat sendiri,” katanya

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan SKPS RON95 Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan, di sini.

Menurutnya, rakyat kini lebih mudah menilai dengan melihat rekod pembangunan serta tahap sosioekonomi kawasan diwakili pemimpin berkenaan.

“Kalau mereka benar-benar berjaya mentransformasi kawasan masing-masing, tentu ada hasil yang boleh dibanggakan.

“Rakyat boleh bertanya penduduk setempat atau meneliti maklumat sedia ada sebelum membuat penilaian,” katanya.

Beliau berkata, GRS kini bersedia menghadapi PRN dengan dua fokus utama iaitu mempersembahkan rekod pentadbiran lima tahun lalu dan menawarkan pelan pembangunan baharu untuk penggal akan datang.

“Ini komponen penting yang kami bawa untuk pertimbangan rakyat. Pada masa sama, pihak lain juga perlu membuktikan rekod mereka, bukan sekadar membuat janji baharu,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama