PRN17: BN tawar pelan baharu, janji selesai isu asas rakyat - Bung Moktar

 

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah tampil dengan pelan besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 termasuk tawaran pendidikan percuma dan penyelesaian masalah air bersih, sama seperti janji yang dilaungkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebelum ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pelan itu sebahagian daripada Rancangan Pembangunan Sabah Satu yang akan dilancarkan bersama pengumuman calon dan jentera BN seminggu sebelum penamaan calon.

“UMNO Sabah siap siaga 100 peratus untuk PRN17. Kita bukan sekadar masuk gelanggang, tapi mahu tampil dengan tawaran baharu yang beri kesan besar kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat UMNO Sabah, semalam.

Bung Moktar berkata, BN memberi penekanan kepada isu asas rakyat seperti bekalan air bersih, jalan raya, elektrik serta pendidikan. Malah, BN juga berjanji memberi pendidikan percuma hingga ke universiti untuk anak-anak Sabah.

“Masalah jalan dan elektrik kita boleh selesaikan segera. Air bersih pula kita sasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun. 

“Pendidikan pula kita akan beri percuma sehingga ke peringkat universiti,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Tabung Kemakmuran Negeri Sabah sebagai antara inisiatif utama BN bagi menjamin masa depan rakyat negeri ini.

“Tabung ini akan jadi pemangkin pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah,” katanya.

Menurutnya, UMNO Sabah menekankan kesepakatan dan disiplin jentera parti untuk memastikan kemenangan BN, dengan lebih 614,000 ahli UMNO diarahkan bersiap siaga termasuk 474,252 pengundi berdaftar.

“Kita yakin rakyat Sabah cukup bijak untuk memilih calon dan parti yang bukan sekadar pandai berjanji, tapi mampu laksanakan,” katanya.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, katanya, bukan satu kejutan kerana ia sudah lama dinantikan rakyat dan parti politik.

“UMNO Sabah bersedia menjadi kerajaan bagi membetulkan semula hala tuju dan masa depan negeri ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama