GRS komited teruskan agenda reformasi undang-undang Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara keutamaan utama dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bukan sekadar janji politik, sebaliknya usaha yang telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2021.

“Sejak GRS mengambil alih tampuk pentadbiran negeri pada November 2020, kerajaan memberi keutamaan terhadap pembaharuan undang-undang. 

“Sebanyak 51 enakmen negeri baharu dan pindaan telah diluluskan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara undang-undang penting yang diluluskan termasuk Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023 serta Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenalkan peruntukan anti lompat parti.

“Selain itu, Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Perubahan Iklim serta Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 turut diluluskan,” katanya.

Armizan turut menjelaskan antara langkah penting dalam reformasi institusi negeri ialah pemerkasaan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah yang kini diberikan kuasa sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mengendalikan kes jenayah di bawah undang-undang negeri.

“Langkah ini membolehkan jabatan berkenaan memberi tumpuan terhadap kesalahan seperti di bawah Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perlindungan Alam.

“Kuasa ini diwartakan pada 6 April 2023 dan turut membawa kepada penubuhan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan bagi memperkukuh aspek perundangan negeri,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, GRS juga menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai lalu sebagai badan penasihat bebas untuk menyemak dan mencadangkan pembaharuan undang-undang secara menyeluruh.

Majlis itu dipengerusikan mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah dan turut dianggotai barisan profesional termasuk Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Shakinur Ain Karama.

“Penubuhan SLRAC membuktikan GRS serius melaksanakan reformasi undang-undang secara menyeluruh. Ia bukan sekadar cakap-cakap politik tetapi satu pelan tindakan strategik,” katanya.

Armizan berkata, GRS percaya undang-undang yang jelas dan relevan adalah asas penting bagi memastikan pentadbiran negeri yang stabil, telus dan berintegriti.

“Rakyat Sabah berhak mendapat sistem perundangan yang kuat dan diyakini. Agenda ini akan terus diperkukuh untuk masa depan Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama