TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipercayai ‘Pusher’ dadah diberkas polis dalam serbuan di Kampung Vietnam, Tanjung Batu, di sini, semalam dan kini berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kampung berkenaan.
“Suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu beg tangan berisi tujuh paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 52 gram dengan nilai anggaran RM5,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambah Jasmin, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha memerangi jenayah dadah,” katanya.