Fahmi tinjau pelaksanaan sistem BUDI95

Fahmi tinjau pelaksanaan sistem BUDI95.

KOTA KINABALU : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan, pada Khamis.

Tinjauan ini bagi menilai kestabilan sambungan internet yang menjadi tunjang kepada sistem BUDI95 di samping mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai pengalaman mereka menggunakan sistem tersebut.

Kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi pengguna yang layak dengan had pembelian sebanyak 300 liter sebulan.

Bagi pengguna yang melebihi had atau tidak layak, harga pasaran semasa sekitar RM2.60 seliter akan dikenakan. 

Bermula 15 Oktober 2025, kerajaan juga memperluas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa yang membolehkan mereka menikmati had tambahan pembelian petrol RON95 bersubsidi.

Sejak pelaksanaannya sistem BUDI95 menunjukkan prestasi yang stabil dengan keupayaan memproses puluhan ribu transaksi setiap minit sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai asas kukuh kepada pelaksanaan subsidi yang lebih tepat, cekap dan adil.

Kelancaran sistem ini turut disokong oleh sambungan internet yang stabil dan pantas serta memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan serta pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan efisien.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama