PAPAR: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti komitmen kerajaan persekutuan dalam membantu kerajaan negeri Sabah menyelesaikan isu legasi bekalan air dan elektrik yang telah berlarutan sekian lama.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan pusat memastikan isu asas rakyat Sabah ditangani secara menyeluruh dan berfasa.
“Walaupun kawal selia tenaga kini sudah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, kerajaan persekutuan tetap membantu kerana isu ini menuntut peruntukan besar dan amat penting bagi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negeri,” katanya pada sidang media Majlis menandatangani MoU dan pecah tanah 10Star Cinema bertempat di Kinarut, hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM880 juta diperuntukkan bagi subsidi tarif, bahan api dan solar berskala besar.
“Kedua adalah komponen peruntukkan untuk projek-projek bekalan elektrik luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebanyak RM189.8 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan bahawa RM128 juta turut disalurkan bagi projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh pasukan khas di bawah PETRA, Kementerian Tenaga dan Transformasi Air.
“Ini bukan lagi sekadar janji atau perancangan, tetapi work in progress. Projek sedang berjalan dan ada sasaran bila siap,” katanya.
Armizan menambah bahawa kerajaan persekutuan turut meluluskan RM765 juta bagi projek Southern Link yang meliputi pembinaan rangkaian grid elektrik sepanjang 330 kilometer bagi melengkapkan sistem grid Sabah yang dirancang sejak 1980-an.
“Dengan adanya sambungan grid ini, masalah yang berlaku di Pantai Timur baru-baru ini apabila kawasan bergelap akibat pencawang utama terjejas disebabkan oleh tanah runtuh itu dapat dielakkan,”jelasnya.
Sementara itu, kerajaan persekutuan turut mengekalkan komitmen RM1 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
“Peruntukkan itu telah melibatkan Projek pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip utama di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan,” tambahnya.