PAPAR: Pelaburan strategik 10Star Cinemas bernilai lebih RM100 juta di Sabah dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaburan itu merangkumi pembukaan enam pawagam di luar bandar yang telah beroperasi.
“Dua lagi di Kinarut dan Kundasang yang masing-masing disasarkan siap pada 2026 dan 2027,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis menandatangani MoU dan pecah tanah 10Star Cinema bertempat di Kinarut, hari ini.
Menurutnya, pelaburan 10star Cinemas bukan sekadar membuka pawagam baharu, tetapi sekali gus memacu pembangunan ekonomi dan industri kreatif tempatan.
“Dalam masa sama ia juga membuka ruang kepada anak muda Sabah untuk terlibat dalam industri filem dan hiburan secara profesional.
“Melalui program ini, 10Star Cinema dengan kerjasama DBAY Film Factory Sdn Bhd akan mencari dan membimbing bakat-bakat muda Sabah agar dapat diketengahkan sebagai pengkarya filem pendek yang akan ditaja oleh 10Star Cinemas,”ujarnya.
Menurutnya, fasa awal pelaksanaan APFS 2026/2027, dua produksi muda telah dipilih iaitu RIVY Production dengan karya filem pendek ‘Bedilan’ dan Lapan Pagi Studio dengan karya ‘Bas Malam’.
Kedua-dua syarikat produksi itu terdiri daripada graduan muda Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Projek berkenaan bakal menjadi penerbitan pertama mereka yang akan ditayangkan di rangkaian pawagam 10Star Cinemas di seluruh negara,”jelasnya.