KOTA KINABALU: Seramai 8,900 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang akan dilaksanakan pada bulan depan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata daripada jumlah itu, seramai 1,200 polis daripada Bukit Aman dan Kontinjen Sarawak turut sama akan digerakkan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Kita juga telah mengadakan mesyuarat bersama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi lain termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa lain,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Menurut Jauteh, pihak polis akan memastikan segala aspek logistik, penugasan anggota dan pengurusan keselamatan di setiap kawasan mengundi telah diperincikan.
“Kita mahu pastikan PRN kali ini berlangsung dalam suasana aman dan teratur,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa pihaknya turut mengambil kira keadaan cuaca semasa dan kemungkinan berlaku bencana ketika musim angin monsun timur laut yang dijangka bermula November ini hingga awal tahun depan.
“Selain penugasan pilihan raya, PDRM juga sudah bersedia menangani sebarang kemungkinan bencana alam seperti banjir di beberapa daerah utama,” tambahnya.
Jauteh turut memaklumkan bahawa suasana politik di Sabah ketika ini kekal terkawal, meskipun terdapat pelbagai aktiviti dan perhimpunan parti-parti politik menjelang PRN.
“Sekarang ini mana-mana parti boleh mengadakan perjumpaan tanpa perlu memohon permit seperti sebelum ini.
“Namun, kita tetap memantau agar semua aktiviti berjalan secara tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
