Draf berkaitan RUU Anti-Buli akan dibentang di Kabinet esok — Azalina

 

KOTA KINABALU: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli bagi mengendalikan kes sivil berkaitan insiden buli akan dibentangkan kepada Kabinet esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, sesi ‘town hall’ yang diadakan bersama orang awam di seluruh negara dengan kerjasama beberapa kementerian berperanan bagi menilai maklum balas terhadap cadangan dasar berkenaan sebelum ia dimuktamadkan.

“Apabila dasar berkaitan tribunal itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri, langkah seterusnya ialah penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli yang kini hampir siap.

“Tribunal ini dijangka dapat mempercepatkan proses keadilan kepada mangsa dalam tempoh antara 60 hingga 90 hari,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Town Hall Anti-Buli di Le Meridien Hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa tribunal ini hanya akan berfungsi selepas semua siasatan dalaman dan keputusan awal berdasarkan sistem disiplin institusi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Kementerian Pertahanan diselesaikan.

“Tribunal ini bukan untuk mengambil alih kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) atau sekolah, sebaliknya menjadi ruang rayuan kepada mangsa atau ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan keputusan sedia ada. Sebagai contoh, KPM mungkin ada keputusan sendiri, maka tribunal akan masuk di peringkat kedua. 

“Fokusnya dahulu adalah kepada individu bawah 18 tahun,”ujar beliau. 

Menurut Azalina, tribunal itu merupakan badan separa kehakiman (quasi-judicial) khususnya dalam kes sivil. 

“Tribunal ini akan membantu mengurangkan beban proses mahkamah yang boleh mengambil masa sehingga sembilan tahun. Melalui mekanisme ini, aduan boleh diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.

“Secara asasnya, tribunal memberi tumpuan kepada kes sivil, bukan jenayah. Cadangan ini juga menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak,” tambahnya.

Terdahulu, Azalina memaklumkan bahawa beliau menyasarkan untuk menamatkan siri jelajahnya dan memperoleh keputusan Kabinet bulan ini bagi membolehkan RUU berkenaan dibentangkan di Parlimen kelak.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama