Lelaki hilang ketika memanah ikan di laut ditemukan meninggal dunia

 

PITAS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti memanah ikan di perairan Kampung Pinggan-Pinggan, di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa, Rozaimie Masiun, 42 dijumpai tidak bernyawa berhampiran kawasan bagang tempat dia dilaporkan hilang, pada jam 7.36 pagi, hari ini. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan yang melaporkan berhubung kejadian itu pada jam 8.00 pagi, Khamis, semalam. 

“Kami menerima panggilan melalui Balai Polis Pitas yang memaklumkan seorang mangsa dikhuatiri hilang ketika berada di laut bersama seorang rakannya,” katanya dalam satu kenyataan Bomba, hari ini. 

Menurut laporan, mangsa dipercayai bertindak mengejar perahu mereka yang hanyut selepas kedua-duanya melakukan selaman bagi memanah ikan. 

“Namun, mangsa tidak kembali ke lokasi manakala rakannya sempat naik ke atas bagang untuk menunggunya kembali dari mengambil perahu. 

“Penduduk kampung kemudian datang menyelamatkan rakan mangsa dan memberitahu bahawa mereka menemui perahu hanyut di Pantai Terungguh, namun mangsa gagal ditemukan,”jelasnya. 

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai BBP Pitas dengan lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK1) Farro Rynson Gusar, bersama pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan penduduk kampung, diteruskan sehingga pagi tadi.

Mangsa ditemukan kira-kira 4.4 kilometer barat daya Pantai Torunggug, Pitas oleh penduduk kampung dan ahli keluarganya. 

“Keluarga mangsa mengesahkan identiti dan membawa mayat ke tepi pantai menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pitas bagi siasatan lanjut,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya setelah melihat tiada sebarang bahaya pada 9.15 pagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama