KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini diberitahu bahawa arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran blok asrama oleh seorang pengawal keselamatan sekolah.
Saksi keenam, Linah Binti Mansoding @ Jaliha, 64, yang bertugas di SMKA Tun Datu Mustapha Kinarut sejak 2012, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang pelajar bernama Melur kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu.
Menurutnya, ketika itu beliau sedang membuat rondaan di Blok Sumayyah sebelum bergegas ke Blok Rabiatul Adawiyah selepas menerima maklumat daripada pelajar terbabit.
"Saya melihat seorang pelajar dikenali sebagai Zara terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di longkang asrama.
"Saya segera menghubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari, dan sempat mengambil sekeping gambar keadaan mangsa,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner.
Linah berkata, ambulans tiba kira-kira jam 4 pagi sebelum membawa arwah ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
"Selepas Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi," katanya.
Beliau turut memaklumkan beliau sempat mengambil gambar keadaan mangsa sebelum dibawa ambulans ke HQE.
"Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk terima rawatan," katanya lagi.
Beliau dalam keterangannya turut mendedahkan, blok asrama Rabiatul Adawiyah, lokasi kejadian berlaku, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) atau gril (pagar keselamatan).
"Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama.
"Tiada juga gril (besi penghalang) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut," katanya.
Jelasnya, perkara itu sekali gus menyukarkan pemantauan keselamatan pelajar, terutama pada waktu malam.