KOTA KINABALU: Prosiding inkues hari ini mengesahkan kematian Zara Qairina berpunca daripada kecederaan otak trauma teruk dengan komplikasi ‘hipoksia-iskemia’, menurut saksi keempat dari Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Pavankumar Balachandran.
Beliau memaklumkan Zara dibawa ke Jabatan Kecemasan HQE sekitar jam 4.38 pagi, 16 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya di Kinarut.
“Pesakit tiba dalam keadaan kritikal dan telah diintubasi.
“Pemeriksaan awal mendapati pesakit sudah diintubasi dengan skor Glasgow Coma Scale (GCS) E1VTM1, anak mata tetap serta tiada refleks batang otak,” katanya.
Pemeriksaan luaran turut menyatakan hematoma dan luka koyak di bahagian belakang kepala, selain kecacatan pada pergelangan tangan kiri serta kedua-dua buku lali dengan luka terbuka pada bahagian kiri.
Hasil imbasan CT otak pula menunjukkan pendarahan subarachnoid meluas, pendarahan subdural, pembengkakan otak serta tanda awal herniasi tonsillar, namun tiada retakan pada tengkorak dikesan.
Zara dimasukkan ke Wad Neurosurgeri pada jam 6.40 petang hari sama.
“Keadaan pesakit semakin merosot sebelum akhirnya disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 sekitar jam 1.07 tengah hari,” jelasnya.
Katanya, perbincangan turut diadakan bersama keluarga untuk menjelaskan keadaan pesakit yang kritikal dengan prognosis sangat tipis.
Menurut Pavankumar yang berpengalaman lebih empat tahun dalam bidang neurosurgeri, Zara dirawat oleh pasukan multidisiplin melibatkan Jabatan Kecemasan, Ortopedik, Pembedahan Am dan Anestesiologi.