TENOM: Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Rubin Balang meluahkan rasa kesal berhubung kenyataan kontroversi Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal yang mengatakan 'Murut kafir' ketika berucap dalam satu program di Melalap, baru-baru ini.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa persatuan Murut negeri ini berkaitan kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat etnik berkenaan.
"Perkataan 'kafir' kepada masyarakat Murut sangatlah sensitif dan jika diamati ia adalah satu bentuk penghinaan kepada etnik Murut secara keseluruhannya.
"Ucapan tersebut tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang pemimpin politik yang telah lama memahami kepelbagaian budaya dan agama masyarakat di Sabah malah pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.
"Penggunaan perkataan yang agak keterlaluan ini telah pun menyinggung banyak pihak terutamanya masyarakat Murut yang juga terdiri daripada agama Islam dan Kristian kerana boleh menimbulkan kebencian dan menghina martabat sesuatu bangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan walaupun istilah “kafir” mempunyai makna asal dalam agama namun Mohd Shafie tidak seharusnya mengeruhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yg terjalin sekian lama.
"Menyebut sesuatu bangsa itu 'kafir' boleh dianggap penghinaan dan tidak menghormati identiti sesuatu bangsa atau agama.
"Justeru, PMS turut menuntut supaya Datuk Seri Shafie Apdal memohon maaf kepada seluruh masyarakat Murut dan berhati-hati apabila mengeluarkan ucapan yang mempunyai unsur-unsur agama dan bangsa," katanya.
