KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak UMNO Sabah yang disifatkan tidak layak bercakap soal integriti kerana pemimpin tertingginya sendiri masih terpalit dengan kes rasuah.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Barhul Sahibu, berkata tuduhan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman kononnya video tular melibatkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan ‘najis rasuah’ dalam kerajaan negeri, hanyalah fitnah politik murahan.
“UMNO Sabah cuba menangguk di air keruh. Video tular tanpa bukti sahih dijadikan modal politik.
"Kalau benar ada bukti, serah kepada pihak berkuasa, bukan hanya pandai menjerit di media,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, UMNO tidak berhak mendakwa kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berdiam diri kerana bimbang isu itu meruntuhkan kepemimpinan GRS.
“Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sendiri masih berdepan kes rasuah di mahkamah.
"Bukankah itu bukti siapa sebenarnya liabiliti politik? Jangan cuba jadi juara moral jika rumah sendiri penuh lumpur,” katanya.
Barhul menegaskan, serangan terhadap Hajiji adalah taktik UMNO menutup kelemahan selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Hajiji fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat. UMNO boleh bersandiwara, tetapi GRS bekerja.
"Sabah tidak perlukan parti yang hidup atas sensasi, sebaliknya kepimpinan yang jelas membawa hala tuju negeri,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah kini matang menilai politik dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda lapuk pembangkang.
“UMNO boleh ulang seribu kali skrip lama, tetapi rekod Bung Moktar sendiri cukup membuktikan siapa yang gagal menjaga maruah rakyat. Itu ibarat telunjuk lurus, kelingking berkait,” katanya.