TUARAN: Projek jalan raya Pan Borneo yang menghubungkan Serusup di Tuaran hingga ke Pituru, Kota Belud dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2028, menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat yang diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jurutera projek, kemajuan kerja berada lima peratus lebih awal daripada yang dijadualkan.
“Saya berpuas hati dengan progres pembinaan. Malah kontraktor sudah mendahului jadual sebanyak lima peratus. Ini pencapaian kerja yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Kampung Penimbawan, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut melawat sebuah projek telaga tiub di Kampung Baru-baru yang dibina oleh JETAMA.
“Hal itu dapat menampung keperluan orang-orang kampung di kampung baru-baru yang selama ini tidak mendapat air bersih.
“Keadaan kampung yang begitu jauh daripada pipe air yang boleh disalurkan. Jadi, sekarang mereka sudah boleh dapat air bersih,”jelasnya.
Menurutnya, projek bernilai lebih kurang RM1.2 juta itu memberi manfaat besar kepada penduduk kampung yang sebelum ini tidak mendapat akses kepada bekalan air paip.
“Saya ucap terima kasih kepada JETAMA kerana membina telaga tiub ini.
“Teknologi yang digunakan cukup baik dan saya mencadangkan supaya lebih banyak projek seumpamanya dilaksanakan di kampung-kampung lain yang masih belum mendapat bekalan air paip,” tambahnya.