![]() |
Pesuruhjaya PAS Sabah merangkap Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan - ihsan PAS Sabah |
PAPAR: PAS Sabah mensasarkan untuk bertanding maksimum 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata pihaknya telah membuat persediaan di peringkat jentera parti.
Beliau yang juga merupakan Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu juga memaklumkan senarai calon telah sedia namun masih menunggu untuk dimuktamadkan di peringkat akhir.
"Kita cuma hanya menanti hari pembubaran (DUN Sabah) dan juga tempoh kempen. (Senarai) calon pun kita sudah selesai (disediakan).
"Cuma perbincangan kerusi dalam komponen PN kita belum muktamadkan lagi di peringkat akhir.
"Di peringkat PAS kita sudah menghantar (senarai calon) kepada Majlis Syura PAS dan kita merasakan apa yang kita cadangkan itu akan diterima.
"Kita mungkin tidak akan pergi (mensasarkan kerusi DUN untuk bertanding) terlalu banyak. Saya boleh anggarkan mungkin paling banyak pun akan pergi kepada 15 kerusi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pertemuan bersama komuniti nelayan Papar bertempat di Kampung Kuala, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Parlimen Jerlun, Abdul Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.