UMNO cemerlang majukan Sabah lebih 34 tahun - Ahmad Maslan


SANDAKAN: “BN sudah tadbir Sabah lebih 34 tahun, GRS baru tiga tahun pegang kuasa tapi sudah dabik dada macam parti lama,” kata Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, walaupun sering dilabel ‘parti Malaya’ oleh musuh politik, termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun rekod jelas membuktikan BN lebih memahami kehendak rakyat negeri ini.

“Jangan lupa, BN yang majukan Sabah dengan projek mega Lebuhraya Pan Borneo, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) serta Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.

“Mereka panggil kita parti Malaya, tapi kitalah yang bina asas kemajuan Sabah. BN ini parti nasional dan lokal, ada PBRS yang 100 peratus dari Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama UMNO Libaran.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut menegaskan, GRS, Warisan dan calon bebas yang khabarnya mahu bertanding 10 kerusi, adalah musuh sebenar UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Tiada kerjasama dengan mereka. Semua itu lawan kita,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad yakin jentera UMNO Libaran mampu mempertahankan DUN Sungai Sibuga dan Sungai Manila, malah merampas semula kerusi Gum-Gum.

“Saya nampak persediaan cukup rapi. Tidak mustahil UMNO boleh menang besar di PRN nanti,” katanya


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama