KOTA KINABALU: Sebanyak 36 mesin Hemodialisis baharu diserahkan kepada beberapa hospital kluster yang bakal meringankan beban 1,000 pesakit buah pinggang sekitar sini.
Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata manfaat mesin baharu itu bukan sahaja bagi menambah jumlah mesin yang sedia ada tetapi turut menggantikan mesin lama yang semakin kurang beroperasi.
“Harapan kita dengan adanya pemberian ini sekurang-kurangnya dapat meringankan ataupun membantu meningkatkan rawatan.
“Apabila kita mendapat mesin baharu, ia bermakna mesin lama yang sudah tidak berapa baik dapat diganti. Sekurang-kurangnya, ia membantu pesakit dan mengurangkan keperluan mereka ke pusat swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis di Auditorium Hospital Queen Elizabeth, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengecualikan pesakit daripada bayaran yuran penggunaan perkhidmatan dialisis di hospital berkenaan.
“Untuk perkhidmatan mesin dialisis pula, dari segi rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD), kita juga akan memberikan subsidi RM100 bagi kos air kepada pesakit yang menjalankan rawatan itu secara persendirian di rumah,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa setakat ini, kelengkapan mesin hemodialisis di hospital-hospital kluster sekitar Kota Kinabalu adalah mencukupi.
“Setakat ini, hospital memaklumkan tiada masalah kekurangan mesin. Bantuan baharu daripada kerajaan negeri juga masih mencukupi,” jelasnya.