Semua kami ceritakan, tiada apa yang cuba kami sembunyikan- Saksi

 

KOTA KINABALU: “Semua kami ceritakan, tiada apa yang cuba kami sembunyikan,” kata saksi kelapan prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan (SMKATDML), Azhari Abd Sagap, 31, berkata beliau menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya wujud cubaan pihak sekolah melindungi pembuli atau suspek yang dikaitkan dengan kejadian menimpa Allahyarhamah pada 16 Julai lalu.

“Tiada apa yang kami cuba selindung. Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara, saya tidak akan cerita apa yang berlaku pada malam 15 Julai kepada polis.

“Saya maklumkan hal itu sejak 16 Julai, malah dari peringkat siasatan polis di Papar sehinggalah ke Bukit Aman, semuanya saya sendiri yang berhubung,” katanya di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Mengulas tuduhan netizen terhadap pelajar yang menemui Zara, Azhari menegaskan bahawa pelajar berkenaan tidak wajar dikecam.

“Pelajar ini seorang yang baik, malah hampir setiap tahun menyertai hafazan saya. Tahun lalu, saya anjurkan program Halaqah Hufaz bagi mengisi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), dan dia antara tiga pelajar terawal menamatkan hafazan.

“Tuduhan terhadapnya sangat kejam hanya kerana dia yang menemui Zara terlebih dahulu,” jelasnya.

Azhari berkata, sejurus menerima panggilan telefon daripada pengawal keselamatan sekolah yang memaklumkan Zara ditemui tidak sedarkan diri, beliau bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya cuba membawa Zara ke hospital dan saya sendiri menghubungi 991 untuk memanggil ambulans. 

"Ketika ambulans tiba, saya mengiringi Zara ke hospital dan terus bersama sepanjang proses rawatan sehinggalah ke hari pengebumian di tanah perkuburan,”tambahnya. 

Prosiding inkues yang memasuki hari kesembilan itu akan bersambung esok dengan keterangan saksi seterusnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama