TAWAU : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah, mengaibkan orang lain atau mengeluarkan ugutan jenayah.
Beliau berkata, perbuatan melampau itu termasuk kes terbaharu membabitkan ugutan bunuh terhadap Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu, saksi pertama dalam inkues kematian remaja Zara Qairina Mahathir yang membawa kepada penahanan seorang bekas guru besar di Semporna, Sabah.
“Ini sudah keterlaluan. Kita berhak bersuara tetapi ada had dan batasnya. Tidak boleh sampai memfitnah atau mengugut bunuh orang lain sehingga melanggar undang-undang.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Hari Bersama Komuniti & Peluncuran PRIME peringkat Sabah di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sungai Imam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut mendedahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan lebih 40 kandungan palsu serta jelik berkaitan isu 3R (agama, perkauman dan institusi Diraja) yang tular, termasuk ketika insiden seorang wanita naik ke pentas utama bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
Menurutnya, kandungan tersebut antaranya menuduh secara palsu kononnya wanita terbabit berketurunan Cina, sedangkan hakikatnya beliau adalah Melayu.
“Berikutan itu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta dua individu lain telah dipanggil kerana menyebarkan berita palsu.
"Akaun-akaun palsu yang digunakan untuk menyebar fitnah juga telah dipadam melalui tindakan MCMC,” katanya.
Beliau menegaskan, polis dan MCMC akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak termasuk cybertrooper politik yang cuba mengaitkan insiden berkaitan arwah Zara Qairina dengan mana-mana tokoh politik atau orang kenamaan tanpa asas.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya.
