![]() |
| Annaz Mohammad Dzakwan (kanan) bersama rakannya, Mohd Fitri Fawwaz menunjukkan resit dan barangan yang dibeli. |
TAWAU: Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 secara sekali beri kepada setiap rakyat berumur 18 tahun ke atas turut dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan muda.
Bagi atlet 400 meter Sukan Sabah (SAGA), Annas Mohammad Dzakwan Suwardi, 18, dari Kampung Tanjung Batu Darat, sumbangan RM100 digunakan secara berhemah dan membeli barangan yang perlu sahaja supaya bakinya dapat digunakan untuk membantu ibu bapa menampung keperluan barang dapur.
"Rasa bestlah sebab dapat free kan. Ada RM100 jadi saya belanja di sini, tapi kali kedua (baki) beli beras sudah mama suruh beli.
"Di rumah ada lima orang, pakcik sama makcik dengan mama, bapa dan saya. Saya berjimat-jimatlah kasi mama bapa duit juga untuk belanja dapur. Hari ini belanja sikit-siktlah beli biskut untuk sendiri," ujar Annas yang kini belajar di Kolej Vokasional Tawau.
Rakannya, Mohd Fitri Fawwaz Abd Fattah, 18, yang bersekolah di Kolej Tingkatan 6 Tawau, bersyukur dengan jumlah RM100 yang diberikan oleh kerajaan dan menyerahkan sebahagian besar kepada ibu untuk membeli barang keperluan dapur.
"Endak tau lagi tinggal berapa baki tu tapi mahu bagi ibu untuk barang dapur. Saya rasa oklah RM100 berbaloi," kata Fawwaz yang merupakan atlet 100 meter dan 200 meter SAGA yang ditemui media di Pasaraya Gemilang dekat sini, pada Ahad.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas layak menerima RM100 melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
