SEMPORNA: Seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun ditahan selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap seorang pakar patologi Hospital Queen Elizabeth I menerusi akaun Facebook.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 5 September lalu berhubung kenyataan dimuat naik melalui akaun Facebook menggunakan nama 'Amung Kamaruddin'.
Katanya, siasatan mendapati kenyataan berkenaan mengandungi unsur ugutan jenayah serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian terhadap pakar patologi terbabit yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina Mahathir.
“Bertindak atas maklumat diterima, polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kira-kira jam 7 pagi tadi (7 September).
“Sebuah telefon bimbit jenama Redmi yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan akaun Facebook terbabit turut dirampas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jauteh berkata, siasatan awal mendapati suspek merupakan pemilik sebenar akaun Facebook berkenaan yang mengeluarkan kenyataan ugutan terhadap pakar patologi terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah secara anonim dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian" katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar undang-undang,” katanya.
