'Tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak’ - Pakar Patologi

KOTA KINABALU: Kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada jatuh secara tidak sengaja atau ditolak ketika berada di lokasi kejadian, kata Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Quratuayun SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut pada 2 Ogos lalu, ukuran dari lantai ke palang besi paling atas pada tembok konkrit tingkat tiga adalah 118 sentimeter (cm), manakala ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.

“Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi itu ialah 36 cm, yang mana lebih tiga perempat daripada ketinggiannya dan berada di atas pusat graviti.

“Berdasarkan ukuran itu, tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri berhampiran penghadang konkrit,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Menurut Dr Hiu, berdasarkan struktur penghadang konkrit dan palang besi, adalah berkemungkinan untuk si mati memanjat, melintasi palang besi serta berdiri di atas tembok konkrit berkenaan.

Mengulas mengenai laporan perubatan, beliau berkata pemeriksaan menunjukkan si mati mengalami kecederaan parah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi, termasuk patah berderai tulang tumit kiri (kalkaneum), patah pada tulang tibia kiri dan kanan, terkehel buku lali kiri, patah tulang belakang lumbar kedua hingga keempat, selain hematoma otot psoas dan tisu pelvis.

“Si mati dipercayai mendarat terlebih dahulu pada kaki kiri, diikuti kaki kanan sebelum jatuh ke belakang pada bahagian kiri tubuh yang menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan, lengan bawah, siku kiri serta belakang kepala.

“Hentakan pada kepala pula menyebabkan pendarahan subdural dan subaraknoid yang membawa kepada bengkak otak dan sawan,” katanya.

Katanya lagi, kecederaan yang dialami adalah sepadan dengan rekod rawatan hospital, imbasan CT, CTA serta radiograf yang dilakukan ke atas mangsa sebelum kematiannya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama