Shafie sudah, Hajiji pun sudah, apa kata cuba saya sebagai ketua menteri - Bung



KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, secara terbuka meminta rakyat Sabah mempertimbangkan dirinya sebagai calon Ketua Menteri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Melalui wawancara KiniTV, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata rakyat negeri ini harus menilai rekod prestasi setiap pemimpin yang berhasrat menduduki jawatan berkenaan, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Apa kata cuba saya (sebagai ketua menteri),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.

"Dan kami lihat sebetulnya, Shafie pun sudah pernah jadi ketua menteri, Hajiji pun sudah pernah, yang lain-lain pun pernah, saya belum pernah," katanya.

Menurutnya, slogan ‘Sabah Maju Jaya’ yang dibawa pentadbiran Hajiji tidak memberi banyak perubahan kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Dia guna slogan Sabah Maju Jaya, tapi di bawah jalan raya berlubang, air tiada, elektrik kerap terputus. Kalau ini kepimpinan yang ditawarkan lagi, saya rasa rakyat Sabah bijak menilai,” katanya.

Bung turut membangkitkan pengalaman lalu apabila beliau pada awalnya dijanjikan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya, namun hanya dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas Hajiji mengangkat sumpah Ketua Menteri pada September 2020.

“Hari pertama dia sudah tipu saya. Lepas saya angkat sumpah, saya telefon Hajiji, kalau tidak tukar jawatan dalam sejam, BN akan tarik diri. Akhirnya dia tukar,” katanya.

Beliau menuduh Hajiji meneruskan penipuan demi penipuan sehingga menyebabkan UMNO dan BN menarik sokongan daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 2022.

Bung turut mendakwa kekayaan hasil bumi Sabah perlu diurus secara telus untuk memulihkan keyakinan rakyat dan menjana peluang pekerjaan.

“Kita akan wujudkan tabung kekayaan rakyat negeri Sabah di bawah Yayasan Sabah bagi mengurus penerokaan mineral dan hasilnya akan dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Mengulas landskap politik negeri, beliau menegaskan keikhlasan dan komitmen kepimpinan lebih penting berbanding gabungan politik semata-mata.

“Kalau kerajaan tiada komitmen untuk mengubah nasib rakyat, Sabah akan terus ketinggalan. Saya bertekad untuk membawa negeri ini ke tahap lebih baik,” katanya.

PRN Sabah perlu diadakan selewat-lewatnya pada 7 Disember 2025 dengan dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru termasuk GRS, BN dan Warisan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama