![]() |
| Tun Musa ketika menyampaikan ucapan. |
KOTA KINABALU : Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) di Sabah mencatatkan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, pencapaian itu membuktikan graduan TVET memiliki kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
“Sehingga kini, kebolehpasaran graduan TVET menunjukkan prestasi yang sangat baik, dengan kadar melebihi 95 peratus.
“Selain menyediakan peluang-peluang pekerjaan dengan gaji yang menarik, bidang TVET juga membuka ruang kepada para graduan untuk bekerja sendiri dan mencipta peluang pekerjaan baharu dengan kemahiran yang diperolehi.
“Ini membuktikan bahawa TVET bukan sahaja menyediakan kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri, tetapi juga melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan diperlukan oleh majikan untuk membangunkan teknologi baharu bagi merancakkan ekonomi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu ke-29 di Dewan Rafflesia di sini, pada Rabu.
Tambah Tun Musa berkata, sejak ditubuhkan 29 tahun lalu, Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan ramai graduan yang mengisi ruang pekerjaan kritikal dalam pelbagai bidang.
"Penubuhan Majlis TVET Sabah pada 19 Mei lalu akan memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras institusi TVET dan memastikan graduan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
“Sebagai salah sebuah institusi TVET utama di Sabah, saya percaya Politeknik mempunyai hubungan kolaborasi strategik yang erat bersama rakan industri dan agensi kerajaan untuk memastikan pembangunan kurikulum dan latihan industri sesuai dengan kehendak semasa,” ujar Tun Musa.
Tun Musa menambah, Politeknik Kota Kinabalu memastikan setiap graduan memenuhi piawaian industry-ready, selain menjadi pemacu inovasi dan digitalisasi yang diperlukan untuk menyokong pembangunan negeri.
Seramai 1,263 graduan diraikan dalam istiadat yang berlangsung selama dua hari itu, bermula Rabu.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Shamsuri Abdullah dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu Md Nor Abdul Halim.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
