Tiada perbezaan antara BN dan parti tempatan Sabah - Zambry


SEPANGGAR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan tiada perbezaan antara BN dan parti-parti tempatan di Sabah.

Malah jelasnya, hubungan yang kukuh telah lama terbentuk berasaskan semangat kebersamaan dalam membentuk landskap politik negara.

Beliau berkata, BN sentiasa bekerjasama rapat dengan parti-parti tempatan di Sabah untuk membentuk ekosistem politik negara yang stabil dan dinamik.

"Barisan Nasional adalah sebahagian daripada proses parti-parti tempatan dan kita telah membentuk kebersamaan.

"Jadi, kita tidak pernah menganggap ada perbezaan atau memisahkan atas nama faktor tempatan," katanya.

Menurut Zambry, walaupun kini BN hanya tinggal empat parti komponen itu salah satunya berasal dari Sabah dan memainkan peranan yang sangat penting.

“Meskipun ada yang menganggap parti ini kecil, peranannya sangat penting. Kita mesti melihat semangat kebersamaan ini merentasi daerah dan negeri. PBRS adalah antara komponen yang melambangkan semangat tersebut,” jelas Zambry.

Sejak penubuhannya pada tahun 1973, BN pernah menghimpunkan sehingga 13 parti komponen termasuk UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBS, dan beberapa parti tempatan Sabah serta Sarawak.

Namun, susulan perkembangan politik dan perubahan landskap pilihan raya, hanya empat parti komponen kekal bersama BN pada hari ini.

"Kalau kita lihat sejarah, BN terdiri daripada pelbagai parti. Dahulu ada 13 parti komponen yang bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menghadiri Program Karisma Pemimpin Muda MADANI bersama pensyarah dan pentadbir muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama