Inkues Zara: Shafie diberi tujuh hari jawab notis sebelum prosiding ‘committal’

Ram singh ketika ditemui pemberita. 

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diberikan tempoh tujuh hari untuk menjawab notis short cause yang diserahkan kepadanya sebelum sebarang prosiding committal boleh diteruskan terhadap beliau berhubung kenyataannya mengenai inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Peguam bela, Datuk Ram Singh, berkata perkara itu dimaklumkan oleh pegawai pendakwa kepada Mahkamah Koroner, hari ini.

“Notis itu sudah diserahkan malam tadi. Jadi Datuk Seri Shafie ada tujuh hari untuk memberikan penjelasan. 

"Selepas itu barulah prosiding committal boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Dalam prosiding hari ke-13, mahkamah selesai mendengar keterangan saksi kanak-kanak kedua sekitar jam 4.15 petang.

“Saksi itu mengesahkan beberapa perkara termasuk arahan bahawa jika berlaku sesuatu di asrama, pelajar perlu berjumpa Tepuan Dorm. 

"Malah, saksi juga mendedahkan wujud kata-kata kesat yang pernah dilemparkan guru kepada seorang pelajar,” katanya. 

Ram berkata, prosiding esok akan dimulakan dengan keterangan saksi kanak-kanak ketiga, selain pengurusan kes praperbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, isu liputan media terhadap keterangan saksi kanak-kanak turut dibangkitkan dengan cadangan agar satu garis panduan dirangka bagi mengelak pelanggaran perintah larangan (gag order).

“Secara asasnya, tiada bantahan. Namun pegawai pendakwa perlu mendapatkan kebenaran pihak atasan mereka terlebih dahulu. Jika media dibenarkan masuk, maka garis panduan mesti jelas,” katanya.

Beliau menegaskan gag order kekal berkuat kuasa khususnya berkaitan identiti saksi, selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Ini kes berprofil tinggi, orang ramai mahu tahu. Namun liputan tidak boleh sampai menjejaskan keselamatan serta kerahsiaan saksi kanak-kanak,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama