Doktor aktifkan ‘Trauma Alert’, usaha selamatkan Zara



KOTA KINABALU: Usaha menyelamatkan nyawa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dilakukan sebaik beliau tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.

Pegawai perubatan, Dr Janefer Voo, 32, memberitahu Mahkamah Koroner, pesakit diterima kira-kira jam 4.38 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius di beberapa bahagian tubuh.

"Selepas pemeriksaan, ‘Trauma Alert’ diaktifkan pada jam 4.42 pagi bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

"Pada masa sama, rawatan kecemasan diberikan kepada pesakit," katanya ketika membacakan kenyataan di hadapan Hakim Koroner Shah Amir Hassan.

Menurutnya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma serius, pendarahan dalaman akibat impak tinggi, selain beberapa kecederaan lain.

Bagaimanapun, Dr Voo menegaskan tiada kesan lebam atau tanda penderaan dikesan pada tubuh pesakit ketika tiba di hospital.

Dr Voo yang merupakan pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditempatkan di HQE ketika itu.

Prosiding inkues kematian Zara bersambung semula pada sesi petang dengan keterangan saksi lain.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama