'Terserah kepada mahkamah tentukan’ – Dr Jessie enggan sahkan kemungkinan bunuh diri

Foto ihsan SM.

KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu mengambil pendekatan berhati-hati apabila disoal sama ada Allahyarham Zara Qairina Mahathir jatuh akibat kemalangan, ditolak atau atas kehendaknya sendiri.

Dalam prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun itu di Mahkamah Koroner di sini, Dr Jessie menegaskan bahawa beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan punca sebenar kejadian tragis itu.

Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada lima remaja tertuduh dalam kes buli berprofil tinggi ini, menyoal Dr Jessie secara mendalam mengenai kemungkinan Zara jatuh sendiri dari bangunan asrama.

“Dr, daripada keterangan Dr semalam dan hari ini, Dr menyatakan dalam pendapat Dr, kemungkinan Zara jatuh secara tidak sengaja. 

"Soalan saya, jika ia bukan kerana kemalangan atau ditolak, adakah ada kemungkinan dia jatuh atas kehendak sendiri?” soal Ram Singh.

“Itu terserah kepada mahkamah untuk tentukan,” jawab Dr Jessie ringkas.

Ketika ditanya lanjut apakah definisi yang digunakan dalam situasi di mana si mati bertindak atas kehendak sendiri, Dr Jessie kekal dengan jawapan sama.

“Apa definisi yang digunakan dalam situasi itu, bahawa si mati melakukannya sebagai bunuh diri?” soal Ram Singh lagi.

“Sama, itu terserah kepada mahkamah menentukannya,” ulang Dr Jessie.

Sebelum itu, Dr Jessie turut ditanya mengenai kemungkinan kecederaan yang dialami oleh arwah berlaku akibat jatuh dari bangunan. 

Beliau menjelaskan bahawa kecederaan pada kepala boleh berpunca daripada impak ke atas lantai konkrit, bukan semestinya pada bahagian tepi longkang seperti yang ditunjukkan dalam gambar bukti.

“Kepala arwah berada sebahagiannya di atas lantai simen. Ada kemungkinan kepalanya terkena lantai dan bukannya tepi longkang. 

"Kedua-duanya boleh menyebabkan kecederaan seperti yang dilihat,” katanya. 

Dalam sesi soal jawab yang panjang itu, Ram Singh turut merujuk kepada gambar-gambar lokasi kejadian dan meminta penjelasan tentang posisi mangsa serta ketinggian palang besi dan jeriji besi tergantung yang dipercayai dipegang mangsa sebelum jatuh.

Menurut Dr Jessie, berdasarkan rekonstruksi dan kecederaan yang dialami, kemungkinan Zara berdiri di lantai berhampiran pagar, bukan di atas pagar seperti dalam satu demonstrasi gambar.

“Dia berdiri di lantai berhampiran pagar, bukan di atas pagar,” katanya merujuk kepada perenggan 22 dalam kenyataan saksinya.

Dalam keterangan sebelum ini, Dr Jessie turut mengesahkan mangsa mengalami kecederaan otak trauma yang serius disertai hipoksia dan ensefalopati iskemik, iaitu keadaan otak tidak menerima bekalan oksigen secukupnya selepas kecederaan utama.

“Kecederaan utama menyebabkan otak membengkak dan apabila ia berlaku, aliran darah ke otak menjadi terhad,” katanya dalam bahasa mudah ketika menerangkan penyebab kematian.

Prosiding inkues akan bersambung Isnin depan dengan saksi dari Jabatan Kimia dijangka memberi keterangan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama