Kecederaan Zara Qairina bukan akibat dipukul - Pakar Patologi



KOTA KINABALU: Kecederaan yang dialami arwah Zara Qairina Mahathir tidak konsisten dengan trauma akibat dipukul, sebaliknya berpunca daripada hentakan kuat akibat jatuh dari tempat tinggi.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu berkata demikian ketika memberi keterangan pada prosiding inkues di Mahkamah Koroner, hari ini.

Dr Jessie menjelaskan keretakan pada kedua-dua kaki mangsa lebih sesuai dikaitkan dengan impak kuat seperti jatuh atau kemalangan jalan raya, bukan serangan fizikal.

“Sekiranya berlaku serangan seperti ditendang, dipijak atau dipukul dengan objek tumpul, pasti akan ada kesan jelas pada kulit dan tisu lembut. Namun kecederaan itu tidak ditemui pada tubuh Zara,” katanya.

Menjawab soalan peguam bela Azhier Farhan Arisin, Dr Jessie menegaskan corak kecederaan yang berlaku pada tulang belakang serta kepala menunjukkan mekanisme hentakan dalaman akibat jatuh.

“Tiada tanda mangsa dipukul, dicekik atau diseret sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Dr Jessie memaklumkan laporan perubatan menyatakan punca kematian Zara adalah kecederaan otak trauma teruk dengan komplikasi hipoksia.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama