Masih terlalu awal tentukan calon Ketua Menteri Sabah - Khaled

 

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat masih terlalu awal untuk menentukan calon Ketua Menteri Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Memetik sumber MalaysiaGazette, beliau berkata demikian berhubung kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang secara terbuka meminta pengundi negeri itu mempertimbangkannya sebagai calon Ketua Menteri.

Menurut Khaled, kepimpinan parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara terbabit disamping semuabpihak seharusnya menghormati proses serta perbincangan dalaman UMNO.

“Parti belum buat keputusan. Saya ingat semua orang berhasrat untuk jadi pemimpin tertinggi tetapi itu pun jawapan yang berasaskan kepada soalan sebagainya. Tapi soal itu terlalu awal, premature. Itu sahaja saya boleh kata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas menghadiri program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata walaupun setiap pemimpin mempunyai aspirasi masing-masing, namun ia bukan kayu ukur untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri.

Khaled menegaskan, keutamaan UMNO pada masa ini adalah memastikan jentera parti di Sabah dalam keadaan bersiap sedia dalam menghadapi PRN17.

Khaled turut menegaskan isu terbabit masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Tapi soal itu terlalu awal, belum masanya. Itu sahaja saya boleh kata,” katanya.

Kenyataan terbabit secara tidak langsung memberi gambaran UMNO masih belum menetapkan pendirian rasmi mengenai calon Ketua Menteri di negeri itu.

Bung Moktar pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya Sabah antara 2020 hingga 2023 namun digugurkan daripada Kabinet negeri selepas krisis politik Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Krisis itu tercetus apabila Barisan Nasional (BN) Sabah yang diketuai beliau menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sekaligus menyebabkan ketegangan dalam politik negeri.

Sejak itu, Bung Moktar terus menjadi figura penting dalam percaturan politik Sabah meskipun berdepan cabaran termasuk kes rasuah berjumlah RM2.8 juta yang masih berjalan di mahkamah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama