KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) menolak untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang selepas hanya ditawarkan lapan kerusi, meskipun parti itu memiliki 14 kerusi penyandang hasil kemenangan pada pilihan raya lalu.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, tawaran itu jelas tidak mencerminkan keadilan serta tidak menghormati prinsip asas rundingan yang telah dipersetujui sebelum ini.
Katanya, BN memiliki 14 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya lalu. Namun, hanya ditawarkan lapan kerusi oleh GRS.
"Lebih mengecewakan, kita dimaklumkan ada pemimpin kanan daripada parti komponen GRS yang menyatakan bahawa lapan kerusi itu sudah terlalu banyak untuk BN.
“Kenyataan sebegini amat melukakan dan seolah-olah menidakkan kekuatan serta sumbangan BN di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh berkata, rundingan kerusi sepatutnya berlandaskan prinsip ‘incumbency’ iaitu kerusi yang dimenangi kekal kepada parti asal, dan pertindihan hanya diselesaikan melalui persetujuan bersama (prinsip ‘swap’).
“Prinsip ini telah diterima pakai dalam rundingan bersama Pakatan Harapan (PH), dan proses berjalan dengan lancar serta hampir dimuktamadkan. Namun, perkara sama gagal dihormati oleh GRS,” katanya.
Menurutnya, BN tidak akan menerima cadangan yang bersifat berat sebelah dan merugikan parti, seiring pendirian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menolak kerjasama dengan GRS sekiranya asas rundingan tidak dihormati.
“BN sentiasa terbuka untuk berbincang secara konsensus dengan mana-mana pihak, namun kepentingan rakyat Sabah serta maruah parti tidak boleh dikompromi,” katanya.