KOTA KINABALU: Pemimpin BN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan percubaan segelintir pihak yang ingin menghapuskan parti itu dari Sabah hanyalah sebuah angan-angan sahaja.
Menurutnya, segelintir pihak yang terdiri daripada pemimpin itu juga pernah menjadi sebahagian dari BN.
"Ironinya, mereka sendiri pernah membesar dalam BN, naik kerana BN, tetapi hari ini mahu memadamkan nama BN.
"Kenapa mereka buat begitu? Kerana BN masih menjadi saingan utama. Dengan melemahkan BN, mereka berharap parti mereka akan naik.
"Tetapi hakikatnya, BN sudah lama bertapak di Sabah. BN sudah melalui banyak gelombang politik dan tetap bertahan.
"Parti baharu belum tentu lebih baik. Banyak parti tempatan akhirnya hilang pengaruh kerana perjuangan mereka tidak berterusan. Bila pemimpin tiada, parti pun mula tenggelam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman media sosial Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan BN tidak akan mudah hilang berikutan kekuatan parti itu adalah disebabkan wujudnya bahagian, cawangan dan penyokong tegar di seluruh negeri ini.
"Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 membuktikan perkara ini. BN masih berjaya memenangi 14 kerusi DUN walaupun selepas gelombang politik 2018.
"Rakyat juga masih merindui BN. BN sebagai parti tidak bersalah. Jika ada kelemahan, ia datang daripada segelintir pemimpin. BN sendiri sudah berbudi dan terbukti memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
"Menyertai BN tidak bermakna kita hilang jati diri Sabah. Kita tetap orang Sabah, kad pengenalan kita ada huruf “H”, dan perjuangan kita tetap untuk rakyat Sabah nombor satu.
Menurutnya, penglibatan anak muda amat penting agar mereka memahami serta meneruskan perjuangan parti itu, sekali gus memastikan ‘DNA BN’ terus hidup dan kekal relevan.
"Kesimpulannya, cubaan menghapuskan BN hanyalah angan-angan segelintir orang. BN tidak akan hilang dari bumi Sabah. Penyokong setia akan tetap bersama, dan BN akan terus menjadi sebahagian daripada sejarah serta masa depan politik negeri ini," katanya.