SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan akan terus mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) meskipun UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan gabungan itu.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komposisi kerajaan negeri ketika ini yang dibentuk bersama antara GRS dan PH.
"Memang itu yang telah kita putuskan Jadi kerjasama (antara GRS dan PH) itu akan kita teruskan kerana sekarang ini kerjasama dalam kerajaan negeri yang kita teruskan adalah kerajaan GRS dan PH.
"Itu terpulang kepada UMNO dan BN jika tidak mahu bekerjasama.
"Bagi pihak GRS, kita sudah buat keputusan untuk meneruskan kerjasama dalam kerajaan yang ada sekarang, iaitu bersama PH," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini, hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengesahkan keputusan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN-17, namun akan terus menjalin kerjasama dengan PH.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata landskap politik di Sabah bersifat unik dan keputusan UMNO Sabah tidak menjejaskan kedudukan GRS dalam kerajaan negeri.
"Melihat keadaan politik di Sabah ini, ia agak unik. Ini bukan baru berlaku di Sabah. D sini, BN adalah pembangkang, manakala di peringkat Persekutuan, BN bersama kerajaan.
"Ini biasa dalam politik terutamanya di Sabah. Ini sebahagian daripada dinamika politik dan demokrasi di negeri ini," katanya.
Bagaimanapun, Hajiji berkata, GRS belum membuat keputusan muktamad sama ada gabungan itu akan menolak sepenuhnya kerjasama dengan BN dan akan mengumumkan pendirian rasmi apabila tiba masanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri sedang mengkaji cadangan memperkenalkan rang undang-undang (RUU) baharu berkaitan isu buli di peringkat negeri.
Katanya, RUU berkenaan dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRN-17 selesai, sebagai langkah menangani gejala buli khususnya dalam kalangan pelajar.