![]() |
| TAKLIMAT...Fahmi (dua dari kanan) diberi taklimat ringkas mengenai pengoperasian menara tersebut. |
LAHAD DATU: Semua penyedia perkhidmatan komunikasi (telco) diminta menambah kapasiti rangkaian serta menyediakan bekalan kuasa sokongan termasuk genset dan sistem hibrid solar.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan perkhidmatan komunikasi kekal stabil sepanjang Monsun Timur Laut terutamanya di kawasan berisiko dilanda banjir.
"Beberapa perkara saya lihat kita perlu teliti termasuk pemasangan bateri tambahan untuk bantu uruskan sekiranya berlaku masalah elektrik.
"Jadi, pemasangan bateri-bateri tambahan ini akan dapat menguruskan terutama isu internet supaya tidak ada terputus talian, itu yang penting," katanya kepada media di Masjid Nurul Jihad, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali Dan Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor serta Pegawai Daerah Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul.
Terdahulu, Fahmi mengadakan tinjauan dan pengujian kualiti liputan komunikasi di Kampung Sapagaya bagi menilai prestasi dan tahap kesiapsiagaan telco dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
Fahmi mendedahkan, ujian bersama CelcomDigi, Maxis, UMobile, TM Tech dan YTL menggunakan aplikasi MCMC NEXUS itu menunjukkan menara komunikasi di kawasan tersebut mampu mencapai kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps bagi 4G, sekali gus memanfaatkan kira-kira 3,800 penduduk setempat.
"Tadi kami di Kampung Sapagaya untuk melihat menara yang ada terima aduan sebelum ini mengenai status internet terutama apabila berlaku masalah banjir di kampung-kampung berdekatan dan terputus bekalan elektrik.
"Saya lihat menara itu berfungsi dengan baik, sekarang dilengkapkan dengan 5G malah rangkaian kedua oleh pihak UMobile juga akan memasang peralatan membolehkan rangkaian 5G bagi kawasan tersebut, tambahan kepada apa yang telah dibangunkan oleh pihak DND," ujarnya.
Dalam masa sama, kata Fahmi, MCMC telah mengenal pasti empat lokasi menghadapi masalah internet dan arahan juga akan dikeluarkan untuk menambah baik rangkaian terbabit. internet.
"Dari Tawau ke Kampung Sepagaya terdapat empat lokasi di atas Jalan Protokol atau jalan utama yang hadapi masalah internet.
"Jadi di bawah dasar di mana ada jalan di situ ada internet, kita akan mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat telco untuk menambah baik untuk rangkaian internet sepanjang jalan-jalan utama ini," jelas beliau.
Fahmi turut memaklumkan beliau juga mengarahkan Pengarah Urusan MCMC untuk menyelesaikan isu internet di Pulau Sebatik.
Setakat 31 Julai ini, liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 95.30 peratus iaitu peningkatan ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
