PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) berikrar untuk memulangkan 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada kerajaan negeri, sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata komitmen itu sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan akan dimasukkan dalam manifesto rasmi gabungan berkenaan.
“Apabila tiba waktunya, kami akan membentangkan manifesto menyeluruh.
"Salah satu komitmen utama adalah menunaikan tuntutan perlembagaan berkaitan pemulangan 40 peratus hasil persekutuan kepada Sabah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan, PN akan memberi tumpuan kepada isu utama yang membelenggu rakyat Sabah seperti masalah infrastruktur asas, serta bekalan air dan elektrik yang belum diselesaikan.
Isu pemulangan hasil tersebut telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu. Ahli politik Sabah menuntut hak negeri untuk menerima 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang melebihi angka 1963.
Bagaimanapun, pelaksanaan formula itu telah digantung sejak 1974 apabila kerajaan Persekutuan memilih untuk meningkatkan bayaran geran khas kepada Sabah dan Sarawak.
Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan kerajaan Persekutuan akan membuat keputusan mengenai tuntutan tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan pada 12 September ini.
Sementara itu, Muhyiddin mendedahkan PN telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan sebuah parti politik bagi meneroka kemungkinan kerjasama menjelang PRN Sabah.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai identiti parti terbabit mahupun bentuk kerjasama yang dirancang.
“Apa yang pasti, kerjasama itu bukan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Kami akan teliti dan berbincang dengan mana-mana parti yang dilihat sesuai untuk bekerjasama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PH sebelum ini memeterai perjanjian pilihan raya dengan GRS dan Barisan Nasional (BN).
Namun kedua-dua gabungan itu dilaporkan tidak bersetuju untuk bekerjasama meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa demikian.
Sabtu lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memberi bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mungkin dibubarkan dalam masa terdekat, namun belum mengumumkan tarikh rasmi pembubaran itu.
