![]() |
Faezah (tiga dari kiri) menerima Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri daripada Tun Musa empat dari kanan). |
KOTA KINABALU: Sokongan keluarga terutama ibu bapa menjadi pendorong utama kejayaan gadis dari Keningau, Nurfaezah Ali @ Mohamad Ali, 24, yang meraih empat anugerah dalam Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Ke-29.
Nurfaezah yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik itu mengakui mengatur masa dengan bijak juga menyumbang kejayaan tersebut.
"100 peratus sokongan keluarga, terutama ibu bapa saya, menjadi faktor utama kejayaan hari ini. Ayah adalah panduan arah hidup saya,” katanya terharu.
"Bijak mengatur masa juga antara faktor kejayaan kerana saya aktif dalam banyak program Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)," katanya ketika ditemui media, hari ini.
Nurfaezah menerima anugerah tertinggi, Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri (TYT), di samping Anugerah Pengarah, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Khas Industri.
Beliau kini melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Industri Perkayuan dengan Kepujian.
Penganugerahan terbabit disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Dewan Rafflesia PKK.
Berbeza dengan Nurfaezah, graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan, Elviensoon Tiono Tinus tetap cemerlang menamatkan pengajian dalam bidang Sijil Kemahiran Hotel dan Katering.
“Pada awalnya saya tiada asas memasak, tetapi dengan bantuan pensyarah, jurubahasa dan rakan-rakan, saya berjaya menguasai kemahiran itu. Saya rasa sangat gembira kerana ibu bapa saya hadir menyaksikan kejayaan ini.
"Walaupun OKU pekak, kita juga boleh berjaya seperti orang lain. Jangan takut dengan cabaran," ujarnya.
Beliau kini fokus dengan latihan intensif acara olahraga padang termasuk lontar cakera dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) di Kuching, Oktober nanti.
Suasana ceria di dalam dewan bertukar hiba apabila ayah kepada Allahyarham Muhammad Hafiz Zawawi Adnan naik ke atas pentas menerima sijil mewakili anaknya yang kini telah tiada.
"Arwah anak bongsu daripada empat beradik, bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat diploma.
"Takdir Allah, dia tidak sempat menggenggam sijil ini. Kami berharap semangatnya menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)