![]() |
Ellron ketika memaklumkan tarikh penganjuran SAGA XI yang bakal berlangsung di Tawau. |
KOTA KINABALU : Sukan Sabah (SAGA) XI bakal menghimpunkan lebih 9,000 atlet dan pegawai daripada 30 daerah di Tawau dari 11 hingga 17 Oktober ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata majlis perasmian akan disempurnakan Ketua Menteri Sabah pada 11 Oktober di Kompleks Sukan Tawau, manakala penutup rasmi pada 17 Oktober 2025.
"Sebanyak 23 jenis sukan dengan lebih 200 acara dipertandingkan termasuk olahraga, bola sepak, sepak takraw, silat, muay thai dan e-sport yang kini semakin diminati golongan muda," katanya pada program temubual segmen 'Kita Cerita #Kitakongsi' di Konti SABAHfm kendalian DJ Noddy dan Kak Lang, pada Rabu.
Beliau memaklumkan kelainan edisi kali ini termasuk penyertaan atlet Sook dan Paitan sebagai daerah penuh serta Tawau menjadi tuan rumah solo bagi semua acara.
"Semua fasiliti di Kompleks Sukan Tawau sudah bersedia. Lebih enam bulan lalu persiapan telah dibuat dan sehingga kini tiada sebarang aduan daripada pihak pelaksana. Saya anggap perjalanan persediaan ini berjalan dengan lancar, mudah-mudahan ia berterusan hingga kejohanan berlangsung nanti," jelasnya.
Turut hadir Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBS Sabah Datuk Mansur Asun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)