![]() |
Jefri ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program tersebut. |
KOTA KINABALU: Seminar dan Tabletop Latihan Kecemasan Aerodrom (EX-Xiphias 2025) menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik serta meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi insiden bencana udara.
Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jefri Ramli berkata seminar berkenaan merupakan fasa awal sebelum pelaksanaan latihan berskala penuh yang dijadualkan esok.
"Program pada hari ini amat penting kerana ia merupakan fasa awal sebelum pelaksanaan Latihan Berskala Penuh Aerodrome Emergency Exercise yang akan berlangsung di KKIA, esok.
"Hari ini, kita akan memberi tumpuan kepada perbincangan Perkongsian pengetahuan serta penyelarasan prosedur operasi antara semua agensi yang terlibat.
"Melalui seminar ini, para peserta berpeluang meneliti semula Pelan Kecemasan Aerodrome menilai keberkesanan mekanisme komunikasi serta mengenalpasti potensi cabaran sebelum berhadapan dengan simulasi insiden sebenar dalam latihan penuh, esok.
"Seterusnya tabletop exercise akan memberi ruang kepada kita untuk menguji keupayaan koordinasi dan kerjasama rentas agensi dalam suasana terkawal supaya tindakan esok dapat dijalankan dengan lebih lancar, tepat dan berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar dan Latihan Kecemasan Aerodrom EX-Xiphias Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 2025.
Menurut beliau, masa adalah faktor penentu dalam setiap operasi menyelamat bencana udara, justeru semua agensi perlu bertindak pantas, teratur dan saling melengkapi agar operasi mencari serta menyelamat dapat dijalankan dengan berkesan.
Sesi tabletop itu menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan, kesihatan, pertahanan serta pihak industri penerbangan. Antara yang terlibat termasuk Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Airport Fire and Rescue Service (AFRS), Aviation Security (AVSEC), Unit Operasi MASB KKIA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Queen Elizabeth, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), syarikat penerbangan AirAsia, Batik Air Malaysia serta Pertubuhan Sukarela seperti St. John Ambulans dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Menariknya, seramai 113 pelajar daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) turut terlibat sebagai peserta dalam simulasi esok, yang bakal menguji koordinasi rentas agensi dalam suasana terkawal.
Jefri menegaskan, usaha bersama itu diharap menjadi asas penting dalam memperkukuh kefahaman, meningkatkan kemahiran teknikal serta memperluas jaringan kerjasama antara agensi, sekali gus memastikan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan penerbangan di negara ini sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Turut hadir, Pengurus Kanan AFRS MAHB Ardi Bin Habi , Pengurus AFRS KKIA Khairul Nizam Ahmad Nazarudin serta Biro Siasatan Kemalangan Udara Tentera Diraja Malaysia (TUDM) Brigedier Jeneral Tan Chee Kee.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)