SLS, SUHAKAM sokong prosiding hina mahkamah terhadap Shafie

 

KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyatakan sokongan terhadap permohonan prosiding penghinaan mahkamah (contempt) yang difailkan ke atas Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, susulan kenyataannya berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir yang tular baru-baru ini.

Permohonan itu dibuat peguam, Datuk Ram Singh dan Joan Goh, yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak dalam kes buli terbabit, pada prosiding pengurusan di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Ram ketika ditemui berkata, mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sudah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Mohd Shafie.

“Tempoh tunjuk sebab ialah selama tujuh hari. Selepas itu, barulah kita boleh pertimbangkan untuk memohon prosiding penghinaan secara rasmi,” katanya.

Beliau menegaskan, kenyataan Mohd Shafie yang tular itu menyentuh isu gag order yang masih berkuat kuasa, sekali gus berpotensi melanggar perintah mahkamah.

“Mahkamah hanya membenarkan kami menyentuh isu kenyataan berkenaan kerana perkara lain berkaitan prosiding tertuduh kanak-kanak tertakluk sepenuhnya kepada perintah larangan sebar,” katanya.

Sementara itu, Joan menegaskan Mohd Shafie perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, terutama sebagai bekas Ketua Menteri dan tokoh politik yang berpotensi kembali menerajui pentadbiran negeri.

Prosiding Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes terbabit dijadualkan bersambung pada 9 hingga 20 Disember depan, manakala inkues kematian Zara Qairina akan diteruskan pada sesi petang hari ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama