Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii, berkata rekod pentadbiran BN jelas menunjukkan isu asas itu dapat diurus dengan baik melalui penyelenggaraan berterusan.
Sebaliknya, katanya, selepas kerajaan negeri bertukar tangan, kelemahan dalam aspek penyelenggaraan menyebabkan masalah sama kembali membelenggu rakyat Sabah.
“Dulu ketika BN mentadbir, tidak ada masalah air dan elektrik kerana penyelenggaraan dibuat secara konsisten.
“Tetapi bila bertukar kerajaan, mereka tidak buat penyelenggaraan dan akhirnya, rakyat yang menanggung kesusahan. Jadi, rakyat Sabah kena bandingkan,” katanya menerusi audio siar Jam Kesebelas.
Razlan berkata, PRN akan datang menjadi peluang rakyat Sabah untuk mengembalikan mandat kepada BN yang terbukti mempunyai rekod pentadbiran lebih baik.
“Jika rakyat Sabah mahu hidup dengan bekalan air dan elektrik terjamin seperti dahulu, pilihlah BN kerana kita sudah tunjukkan sebelum ini kemampuan mengurus negeri dengan baik.
“Hanya BN yang mempunyai pengalaman dan rekod kukuh untuk mentadbir Sabah. Apa yang kita buat hari ini adalah untuk mendapatkan semula keyakinan generasi kedua dan ketiga di negeri ini,” katanya.
Menurutnya, BN turut berhasrat kembali memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri walaupun tidak mampu menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah, termasuk memegang jawatan Ketua Menteri serta portfolio utama.