![]() |
Tertuduh ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Majistret Tawau hari ini. |
TAWAU : Padah membuat ugutan jenayah mendakwa terdapat bom dalam sebuah pesawat tambang murah, seorang pelancong wanita warganegara China dihukum denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Liu Jinqi, 28, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, namun wanita itu melunaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin, wanita berasal dari Beijing itu didakwa menakutkan secara jenayah syarikat penerbangan AirAsia dengan kenyataan ugutan “human service emergency bomb dangerous” melalui aplikasi layan diri “Ask BO” pada 22 September lalu.
Ugutan itu dibaca seorang kakitangan syarikat penerbangan terbabit kira-kira 11.55 pagi sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau hari yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun manakala tertuduh diwakili peguam Wen Jye.
Media sebelum ini melaporkan tertuduh dan suaminya ditahan selepas menghantar ugutan palsu berhubung bom dalam pesawat dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan isu pertukaran tempat duduk dalam penerbangan yang dijadualkan dari lapangan terbang Tawau ke Kuala Lumpur.