Katanya, cadangan itu timbul selepas rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa tidak menunaikan janji berkaitan jawatan serta pembahagian projek.
“Pada awalnya kita wujudkan kerajaan bersama kerana ada kesepakatan. Tetapi hampir dua tahun, GRS masih mempermainkan UMNO.
“Bila kita kemukakan nama untuk jawatan, dikata sudah penuh. Begitu juga projek kecil, semua sudah diagih kepada orang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi podcast Jam Kesebelas yang menyiarkan sesi temu bual khas bersama Ahli Parlimen Kinabatangan itu, baru-baru ini.
Bung berkata, ketidakpuasan hati memuncak apabila berlaku tindakan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga menjejaskan kestabilan politik negeri.
“Kebetulan kerja mereka membeli ADUN melompat. Shafie jumpa saya di Dewan Rakyat dan kata, kalau inilah kerajaan yang ada, bagaimana kalau kita bentuk kerajaan baharu. Saya kata boleh, tapi kena jumpa Perdana Menteri dulu.
“Saya, Shafie dan Peter Anthony akhirnya berjumpa Perdana Menteri. Beliau kata ok, tetapi ADUN beliau berkecuali. Bila balik Sabah, belum sempat kita bergerak, jam 6 petang sudah ada lapan ADUN 'dibeli',” katanya.
Mengulas mengenai enam ADUN yang kini menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Bung menegaskan kerusi berkenaan asalnya dimenangi atas tiket BN.
“Insya-Allah kerusi itu kita akan pertahankan pada pilihan raya negeri nanti kerana mereka menang atas tiket BN,” katanya.
Mengenai calon BN Sabah, Bung menegaskan perkara itu ditentukan sepenuhnya oleh UMNO Sabah tanpa campur tangan UMNO Pusat.
“Soal calon, kawasan, manifesto dan strategi semuanya diurus UMNO Sabah. Presiden hanya menandatangani watikah calon kerana itu syarat SPR,” katanya.
Untuk rekod, ‘Langkah Kinabalu’ bermula pada 6 Januari 2023 sebagai cubaan menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang dipimpin GRS selepas BN Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Namun usaha itu gagal apabila beberapa ADUN UMNO tetap bersama Hajiji, sekali gus mengekalkan GRS sebagai kerajaan negeri. Krisis berkenaan akhirnya membawa kepada kelulusan undang-undang Anti-Lompat Parti di Sabah pada Mei 2023.
