KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM5,000 bagi membantu usahawan kotej dan mikro memperkukuh operasi perniagaan serta meningkatkan peluang memperoleh pensijilan halal.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan yang diusahakan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan operasi perniagaan.
Walau bagaimanapun, katanya mana-mana usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub.
“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.
"Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat global.
"Justeru, industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi MUIS Halal Hub", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ketika berucap dalam pelancaran Program MyHalal Day Sabah 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri merangkap Exco Agama dan Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Dalam pada itu, Arifin ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata Halal Hub yang bakal diwujudkan di Kota Kinabalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan kerjasama agensi dari Semenanjung, akan menjadi pusat rujukan utama bagi keperluan pensijilan halal di negeri ini.
“Dengan adanya Halal Hub, kita dapat menyediakan kemudahan terkini kepada usahawan yang ingin mendapatkan sijil halal.
"Sementara menunggu pembinaannya, MUIS bekerjasama dengan JAKIM untuk memastikan proses pensijilan berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa penyelarasan agar semua agensi terlibat dapat bergerak seiring dan tugas tidak bertindih.
Menurutnya, usaha ini penting bagi mengubah persepsi sesetengah usahawan bahawa mendapatkan sijil halal adalah sukar, mahal dan lambat.
“Sebenarnya proses ini mudah, boleh dibimbing dan tidak mahal, sekiranya mereka mendapat bimbingan melalui kursus serta panduan yang disediakan.
"Kita mahu lebih ramai usahawan Sabah memiliki sijil halal bagi meningkatkan daya saing produk ke peringkat nasional dan antarabangsa,” jelasnya.
