KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, membuat laporan polis dan mengarahkan peguamnya mengeluarkan Notis Tuntutan Letter of Demand (LOD) terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan tangkap layar palsu perbualan WhatsApp membabitkan dirinya.
Individu terbabit dikenali sebagai Tandiko Dalusin, yang juga ahli Parti Warisan, didakwa menjadi dalang utama penyebaran fitnah berkenaan menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Huzaifah Al-Likasi’.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, menegaskan bahawa penyebaran mesej palsu itu adalah satu bentuk fitnah jahat dan tidak berasas, bertujuan menjatuhkan reputasi beliau serta mencemar imej Parti Gagasan Rakyat Sabah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan saya dalam perbualan WhatsApp yang tular.
"Fitnah ini direka dengan niat jahat untuk memburukkan nama saya dan parti.
"Menariknya, dalam siaran langsung yang dibuat tengah hari tadi oleh pemimpin pembangkang sendiri, iaitu Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, turut mengakui bahawa tangkap layar WhatsApp yang ditularkan itu adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, selain turut menyerahkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, kenyataan yang dimuat naik oleh Tandiko sendiri di media sosial jelas menunjukkan bahawa dakwaan yang disebarkan itu tidak mempunyai sebarang asas dan bersifat rekaan semata-mata.
“Tindakan menyebarkan maklumat palsu sebegini bukan saja mencemarkan nama baik saya, malah boleh menimbulkan kegusaran awam, apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan isu sensitif seperti kematian Almarhum Zara Qairina,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam turut menyentuh mengenai himpunan ‘Justice for Zara Qairina’ yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu, dan menyatakan bahawa beliau menghormati hak rakyat untuk berhimpun serta menyuarakan keprihatinan.
Namun, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyalahgunakan hak berkenaan sehingga melampaui batas undang-undang.
“Saya difahamkan pihak polis sedang mengambil tindakan berhubung ucapan berunsur hasutan yang berlaku semasa perhimpunan itu.
"Kita serah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa politik perlu berteraskan fakta, hujah dan idea, bukannya fitnah atau manipulasi untuk kepentingan tertentu.
“Fokus kita seharusnya terarah kepada usaha mencari kebenaran, menuntut keadilan dan memastikan keselamatan pelajar terus menjadi keutamaan semua pihak,” katanya.
