Menurut laporan Joceline Tan dalam akhbar The Star yang memetik sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pertemuan itu dipercayai membincangkan kesediaan Warisan untuk bergabung dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.
Shafie dikatakan bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk jawatan Ketua Menteri sekiranya kedua-dua parti berjaya menawan semula Sabah.
Malah, UMNO telah mengenal pasti seorang bekas penjawat awam sebagai calon Ketua Menteri,” kata sumber berkenaan.
Dakwaan itu hadir ketika landskap politik Sabah terus berdepan kejutan termasuk pergolakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), isu rasuah serta bencana alam yang menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebelum ini, Ahmad Zahid secara terbuka mengisytiharkan GRS sebagai ‘musuh’ dalam sidang media yang turut disaksikan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang menunjukkan sokongan penuh terhadap kenyataan itu.
Namun, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Rahman Dahlan, dilihat lebih berhati-hati apabila menyuarakan kecenderungan kepada idea gabungan besar bersama GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Penganalisis politik berpandangan, sekiranya kerjasama Warisan-UMNO dimuktamadkan, ia bakal mengubah persaingan PRN-17 daripada pertembungan tiga penjuru kepada pertandingan sengit yang lebih sukar diramal.
“Kerjasama ini, jika menjadi kenyataan, boleh dianggap sebagai ‘kejutan politik’ terbesar di Sabah. Ia sekali gus memberi cabaran baharu kepada GRS-PH dalam mempertahankan kedudukan,” kata seorang penganalisis tempatan.
PRN Sabah dijangka berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik pada 11 November depan.
