KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merancang menghidupkan semula peluang pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir bagi pelajar Sabah.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata perancangan itu merupakan hasil perbincangan dengan kedutaan serta Kementerian Pengajian Tinggi negara itu.
“Hasilnya sebelum ini terbukti berjaya, khususnya dalam bidang farmasi dan pergigian yang diiktiraf serta berpotensi besar untuk dimanfaatkan di negara kita, terutamanya di negeri Sabah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis amanat bagi meraikan pelajar-pelajar Sabah melanjutkan pengajian ke Mesir yang bertempat di Horizon Hotel, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa MUIS akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Fatwa Mesir, Darul Ifta’, bagi membolehkan pelajar Sabah yang menuntut di negara itu mengikuti kursus kefatwaan semasa cuti pengajian mereka.
“Kita ingin menjadikan Sabah sebagai hab latihan kefatwaan di Malaysia, khususnya Sabah, Brunei, Indonesia dan sebagainya.
“Sekiranya kerjasama ini dapat direalisasikan, kita boleh menjadikan Sabah sebagai pusat keilmuan dalam bidang kefatwaan.
“Mereka sudah bersetuju untuk melatih anak-anak kita di sana. Jadi, mereka akan belajar berkursus di Darul Iftar berkenaan dan hanya anak Sabah yang mendapat peluang ini, dapat kita perluaskan lagi,” jelasnya.
Seramai 30 orang pelajar Sabah akan diterbangkan ke Mesir, hari ini bagi melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang pendidikan islam di bawah tajaan Dermasiswa Pengajian Tinggi Majlis Ugama Islam (MUIS).
