Lebih 1,000 pengunjung meriahkan Program Jelajah Wira MADANI, Maritim Disantuni

 

KENANGAN... Anwar (tengah, duduk) ketika bergambar kenangan bersama Hajiji (tiga dari kiri, duduk) dalam majlis tersebut.

SANDAKAN: Program Jelajah Wira MADANI, Maritim Disantuni berlangsung meriah di Pejabat Zon Maritim Sandakan hari ini dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung sebagai menzahirkan penghargaan kepada barisan hadapan keselamatan negara.

Program tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi platform mendekatkan Kerajaan MADANI dengan rakyat melalui gabungan pendekatan kemasyarakatan dan keselamatan selain menampilkan konsep Low Cost, High Impact yang menekankan keseimbangan pelaksanaan serta keberhasilan kepada masyarakat.

Program itu juga memberi peluang orang awam mengenali lebih dekat fungsi serta peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang lebih dua dekad diberi mandat menjaga keselamatan perairan negara.

Pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk pameran agensi kerajaan, perkhidmatan kaunter kerajaan, sukan rakyat, jualan rahmah, senamrobik dan pemeriksaan kesihatan.

Kemuncak acara diserikan dengan perarakan bot berhias, pertunjukan perahu naga, lawatan Kapal Maritim (KM) BANGGI serta demonstrasi taktikal Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) yang mencuri tumpuan pengunjung.

Penganjuran kali ini bukan sahaja mengangkat jasa pegawai dan anggota maritim, malah memperkukuh kefahaman rakyat terhadap usaha berterusan agensi itu dalam memastikan keselamatan perairan negara.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama